Search

Chris Pereira lancar album sulung selepas lebih dua dekad warnai muzik Sabah

May 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas lebih dua dekad aktif mewarnai industri muzik tempatan, penggiat seni veteran Sabah, Chris Pereira atau lebih dikenali sebagai DecipherBKI, melancarkan album sulung berjudul Architect of Sound and Syntax dalam satu acara khas di Ruang Tamu Ekosistem, Alamesra, di sini, Jumaat lalu.

Chris yang aktif sebagai penerbit, komposer dan penyanyi rap sejak 1999 disifatkan antara pengkarya multidisiplin paling lama bertahan dalam landskap muzik Sabah, dengan penglibatan merentasi pelbagai genre termasuk gospel, hip hop, alternatif, metal serta muzik eksperimental.

Sepanjang perjalanan seninya, beliau bukan sahaja aktif menghasilkan muzik, malah turut bekerjasama dengan artis tempatan dan antarabangsa selain terlibat dalam pelbagai projek swasta, kerjasama bersama agensi kerajaan dan inisiatif kebajikan.

Malah, sebahagian besar sumbangannya dilakukan secara sukarela tanpa imbuhan kewangan sebagai manifestasi komitmen terhadap pembangunan karya kreatif berasaskan komuniti di Sabah.

Album Architect of Sound and Syntax menampilkan koleksi demo, rakaman mentah dan susunan instrumental yang memperlihatkan proses kreatif di sebalik penghasilan karya muziknya.

Tidak sekadar menampilkan hasil akhir yang sempurna, album itu membuka ruang kepada pendengar untuk menelusuri asas pembinaan sesebuah karya daripada lakaran awal hingga berkembang menjadi susunan muzik lengkap.

Sebagai penerbit dan penulis lirik, DecipherBKI membawa pendengar meninjau sisi kreatif penghasilan muzik yang menggabungkan ritma, bahasa dan idea dalam satu kerangka karya yang lebih mendalam.

Menariknya, Chris turut mengetengahkan sisi kreatif lain menerusi bidang fotografi di bawah nama ChrisCanShoot, dengan kulit album berkenaan menggunakan hasil fotografi asli Gunung Kinabalu yang dirakamnya sendiri.

Berbeza daripada pelancaran album konvensional, acara itu diadakan dalam format sesi bicara artis yang dikendalikan podcaster Harold Egn daripada The Sip Sip Show bersama Adi Haji dari kolektif seni terkenal Pangrok Sulap.

Majlis berkenaan menghimpunkan pelbagai penggiat industri kreatif Sabah termasuk wakil organisasi seperti SCENIC dan IDS, selain kehadiran pemain gitar fingerstyle terkenal Roger Wang, artis hip hop veteran Arafah Ambrose daripada KamiKrazie, artis nasional Ordin.J dan Daisy Dreams serta ramai bakat baharu tempatan.

Pelancaran album itu dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Chris Pereira yang meraikan lebih 20 tahun sumbangannya terhadap gerakan kreatif bebas Sabah, selain terus merapatkan hubungan antara muzik, seni visual, penceritaan dan budaya komuniti. – Info X