Search

CIDB Sabah mahu pastikan pemain industri binaan patuh undang-undang

June 14, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah sedang giat melancarkan operasi bagi memastikan pemain industri pembinaan sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata, pihaknya mahu semua pemaju atau kontraktor di negeri ini tidak mengabaikan aspek keselamatan dan kualiti bangunan yang dibina.

Katanya, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) dan Operasi Penguatkuasaan Khas (OPK) akan terus dilaksanakan di seluruh negeri tahun ini.

Rosmen (depan lima kiri) bersama pegawai dan anggota penguatkuasa OPB.

“CIDB Sabah akan lancarkan sekurang-kurangnya tiga OPB dan lima OPK setiap tahun tidak termasuk operasi yang kita ikuti daripada anjuran agensi lain.

“Fokus utama operasi dilancarkan adalah mengesan pemaju, kontraktor serta pemain industri pembinaan yang tidak mematuhi aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam OPB antara jabatan 2023 anjuran CIDB Cawangan Tawau, di sebuah tapak pembinaan di Jalan Kuhara, di sini, hari ini.

Pegawai CIDB menjalankan OPB di tapak pembinaan di Jalan Kuhara, Tawau.

Seramai 41 pegawai dan anggota daripada CIDB, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) terbabit dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, hasil OPB yang dilancarkan di daerah ini, CIDB telah mengeluarkan sebanyak tiga notis terhadap pemaju iaitu notis meminta maklumat, hadir ke pejabat dan kesalahan pekerja mahir.

“JKNS pula telah memberikan satu kompaun kerana penemuan dua tempat pembiakan nyamuk aedes, manakala MPT mengeluarkan satu kompaun berkaitan Anti Sampah Sarap-Seragam 2010,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmen berharap pemain industri di negeri ini dapat mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan berdasarkan Akta 520 di tapak pembinaan.

Katanya, kesedaran kontraktor dalam melaksanakan pematuhan akta secara seliaan sendiri adalah penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan sempurna. – Info X