KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menafikan insiden seorang guru terpaksa memikul beras untuk dihantar ke asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai, Ranau seperti tular di media sosial sebelum ini.
Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata realitinya sekolah terbabit bukan saja tidak mempunyai asrama, malah lokasinya terletak berhampiran jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah.
Katanya, selain di Ranau, sebuah lagi sekolah dengan nama yang sama di Kudat juga tidak mempunyai kemudahan asrama dan lokasinya terletak berhampiran jalan raya.
Sehubungan itu, katanya tiada isu guru memikul beras untuk dihantar ke sekolah terbabit memandangkan situasi sebenar tidak sama seperti digambarkan dalam dakwaan yang tular di media sosial.
“Jabatan Pendidikan Sabah amat berdukacita dengan satu viral dalam media sosial berkenaan dengan SK Pinawantai, Ranau.
“Terdapat dua sekolah di Sabah yang memiliki nama yang sama iaitu SK Pinawantai, Kudat dan SK Pinawantai, Ranau. Kedua-dua sekolah itu tidak ada asrama dan terletak berhampiran dengan jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah.
“Sehubungan ini, tidak ada isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan. Guru Besar SK Pinawantai, Ranau telah membuat penafian tentang isu yang diviralkan dan menegaskan bahawa tidak ada guru bernama Farhan di sekolah berkenaan.
“JPN Sabah turut menafikan kenyataan tidak benar yang tular di media sosial berkaitan perkara ini,” katanya.
Berikutan itu, Raisin menyeru kepada netizen supaya lebih bertanggungjawab dalam membawa isu berkaitan pendidikan.
Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan JPN Sabah sentiasa komited meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.
Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa seorang guru muda bernama Farhan terpaksa memikul beras meredah hutan selama tiga jam untuk dihantar ke asrama SK Pinawantai selepas tidak sampai hati melihat murid sekolah itu hanya memakan ubi kayu setiap malam. – Info X