KOTA KINABALU: Cuaca panas dan kering yang melanda kebanyakan tempat di seluruh negara, termasuk Sabah ketika ini dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April depan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), keadaan itu berikutan bermulanya fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 29 Mac hingga Mei depan.
Katanya, permulaan fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang bermula sejak 11 November 2023.
“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” kata kenyataan itu.
Sejajar perubahan musim itu, MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan pihaknya.
Maklumat cuaca MET Malaysia katanya boleh diakses melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan atau dengan menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – Info X