KOTA KINABALU: Malaysia dijangka berdepan fenomena El-Nino yang dikaitkan dengan cuaca panas dan kering melampau pada tahun ini hingga awal tahun depan.
Memetik laporan Harian Metro, kehadiran fenomena itu berdasarkan trend cuaca semasa yang menunjukkan suhu lebih panas di seluruh dunia.
Perkembangan itu dinyatakan Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang kepada Harian Metro.
Jelasnya, Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat meramalkan El-Nino berlaku antara Julai hingga Ogos dan berkembang sehingga akhir tahun ini dan awal 2027.
Fenomena itu, katanya dijangka mula menurun pada Mac hingga April tahun depan sebelum berakhir pada Mei tahun depan.
“Mengikut ramalan, kebarangkalian EL-Nino muncul pada musim barat daya adalah melebihi 70 peratus dan kebarangkalian ini meningkat sekitar 80 hingga 90 peratus sehingga penghujung tahun ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
El-Nino merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37 darjah Celsius dan boleh meningkat hingga 40 darjah Celsius dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering.
Fredolin berkata, kehadiran fenomena itu diramal berdasarkan perkembangan di Lautan Pasifik yang mana ia berlaku apabila lapisan termoklin di bahagian timur lautan itu melemahkan proses penyejatan air sejuk ke permukaan laut.
Keadaan itu, katanya akan meningkatkan suhu laut, seterusnya memulakan kemunculan tanda El-Nino.
“Hingga kini, tanda itu baru saja bermula di permukaan laut di bahagian timur Lautan Pasifik.
“Pengalaman saya sebagai penyelidik berkaitan El-Nino selama lebih tiga dekad berpendapat kita berkemungkinan berdepan El-Nino terintensi kuat tahun ini sehingga awal tahun depan,” katanya.
Ketika ini, cuaca panas dan kering sudah mula berlaku termasuk di Sabah berikutan kekurangan hujan sejak hampir dua minggu lalu. – Info X