LABUAN: Dua lelaki tempatan dipenjara tiga bulan selepas masing-masing gagal membayar denda RM10,000 atas kesalahan mengangkut barang tidak berkastam yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Labuan, di sini, pada Rabu.
Tertuduh berumur 25 dan 32 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut 86 botol minuman keras pelbagai jenama yang belum dibayar duti kastam pada April lalu.
Mereka didakwa membawa barangan itu dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa
membuat pengikraran kastam dan menjelaskan duti import mengikut Akta Kastam 1967.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(ii) Akta Kastam 1967.
Selepas mengaku bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang atau jika gagal membayar denda, berdepan penjara selama tiga bulan.
Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan ketika cubaan menyeludup dilucut hak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh disyaki melakukan kesalahan itu menerusi pemeriksaan yang dijalankan pegawai JKDM Labuan di Terminal Feri Kenderaan, di sini, pada 27 April 2026.
Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda menemukan sebanyak 86 botol minuman keras import pelbagai jenama yang disembunyikan dalam ruang khas yang diubahsuai di bahagian lantai belakang kenderaan terbabit.
Minuman keras berkenaan dipercayai cuba dibawa keluar dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Menumbok, Sabah tanpa membuat pengikraran kastam dan pembayaran duti import.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Said Hamid Said Idrus.
Sementaea itu, Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah, berkata JKDM akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan atau cubaan mengelak duti kastam.
Tegasnya, ia adalah satu kesalahan yang bukan saja melanggar undang-undang, malah menyebabkan ketirisan hasil negara.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967, khususnya berkaitan pengangkutan barang dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Kawasan Utama Kastam.
“Semua barang yang tertakluk kepada duti hendaklah diikrarkan kepada JKDM dan duti yang berkaitan hendaklah dijelaskan sebelum dibawa keluar dari Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kegagalan mematuhi kehendak
undang-undang boleh mengakibatkan tindakan pendakwaan, hukuman denda, pemenjaraan serta pelucuthakan barang dan kenderaan yang digunakan ketika melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan juga disaran menyalurkan maklumat kepada JKDM bagi membantu membanteras jenayah penyeludupan dan melindungi hasil negara,” katanya.- Info X