Search

Cubaan Bung Moktar, Zizie cabar keputusan Mahkamah Rayuan gagal

May 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk mencabar keputusan mahkamah itu sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Cubaan pasangan itu mendapatkan kebenaran semakan terhadap keputusan terdahulu gagal selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid sebulat suara memutuskan untuk menolak permohonan mereka ketika prosiding di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Khamis.

Memetik laporan Berita Hatian, mahkamah menyatakan pasangan itu selaku perayu gagal memenuhi syarat ambang yang menunjukkan terdapat keadaan luar biasa atau ketidakadilan serius yang boleh membenarkan semakan terhadap keputusan terdahulu.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala peguam M Athimulan mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette.

Bung Moktar dan Zizie Izette mengemukakan permohonan itu pada Mac lalu di bawah Peraturan 105, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, atas alasan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan mahu panel semakan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 18 November 2024, panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 47, membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023.

Pada September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan berkenaan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur antara jam 12.30 tengah hari hingga jam 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama. – Info X