Search

Cubaan seleweng diesel, minyak masak digagalkan

May 14, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeleweng barang kawalan bersubsidi membabitkan minyak diesel dan minyak masak paket berjaya dipatahkan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, semalam.

Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai barangan termasuk kenderaan dan pump bot dirampas dengan nilai keseluruhan lebih RM52,000.

KPDN Sabah dalam kenyataan berkata, dua kes serahan diterima Pejabat KPDN Semporna pada 13 Mei lalu hasil tindakan Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak serta Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna.

Menurutnya, kes pertama membabitkan serahan daripada PGA Kunak selepas menahan seorang lelaki tempatan bersama sebuah Toyota Hilux berwarna hitam dan 150 liter minyak diesel disimpan dalam enam jeriken.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau menyimpan barang kawalan berkenaan.

“Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan RM322.50 manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM50,822.50,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, katanya, dalam kes kedua, PPM Semporna menyerahkan kes rampasan tanpa tuan di kawasan laut Pulau Larapan membabitkan 425 kilogram minyak masak paket.

“Turut dirampas sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran, enjin pump bot 18HP jenama Pro Quip serta satu unit shaft propeller.

“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM1,062.50 dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM2,165.50,” katanya.

Susulan itu, KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan bersubsidi.

Menurut kenyataan itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – Info X