LAHAD DATU: Cubaan menyeludup keluar sebanyak 1,520 kilogram (kg) beras ke negara jiran gagal apabila ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.
Rampasan itu dijalankan APMM Zon Lahad Datu menerusi Op Pluto Timur di kedudukan 0.4 batu nautika barat daya Teluk Sibet, jam 1.35 pagi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bertindak dengan maklumat risikan, mengerakkan bot ronda yang ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Pluto Timur ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di kawasan itu, pasukan serbuan berjaya mengesan dua buah bot pam yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Pengendali bot bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran ketika pasukan APMM cuba merapati bot berkenaan,” katanya dalan satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati terdapat beras pelbagai jenama seberat 1,520 kg dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Bot serta barang rampasan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM24,000 dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana dipercayai membawa beras tanpa kebenaran yang sah,” katanya.
Sementara itu, Nik Mohd Rizam berkata, pihaknya memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu supaya memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan mahupun salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut.
“Orang ramai boleh salurkan maklumat melalui Pusat Operasi Lahad Datu di talian 089-885727 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X