Search

Cubaan seludup 250 karton rokok tumpas

November 18, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai melalui laluan laut di persisiran Pulau Tetangan, di sini gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan aktiviti berkenaan dalam operasi, malam tadi.

Dalam operasi jam 10.05 malam itu, lima karung guni berisi 250 karton rokok seludup berjaya dirampas selepas pasukan PPM mengesan sebuah bot laju bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Jaffri Bidin berkata, operasi hasil maklumat awam itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang mengendalikan bot berkenaan.

“Semua rokok ini dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Pemeriksaan lanjut menemui lima karung guni berisi 250 karton rokok berjenama L3 Menthol yang tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rampasan dibuat mengikut Akta Kastam 1967 dan usaha membanteras penyeludupan akan terus dipertingkatkan.

“PPM akan mempergiatkan rondaan dan memperkukuh risikan bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat serta bebas daripada aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara,” katanya. – Info X