Search

Cubaan seludup 44 tong dram berisi petrol ke Filipina gagal

January 21, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol selepas menahan tiga bot pam dengan membawa muatan sebanyak 44 tong dram berisi bahan bakar berkenaan, semalam.

Ketiga-tiga bot pam ditemui terapung tanpa pengendali dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai APMM di kedudukan 0.3 dan 0.2 batu nautika selatan Tanjung Pegasan, Pitas, jam 5.30 pagi.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon
Maritim Kudat yang ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Pluto Timur segera diatur gerak ke lokasi yang diarahkan.

“Sebaik tiba lokasi berkenaan, anggota APMM mendapati terdapat tiga bot terapung tanpa pengendali dipercayai telah melarikan diri selepas menghidu kehadiran penguat kuasa APMM.

“Ketiga-tiga bot berkenaan seterusnya dirapati untuk pemeriksaan dan didapati bot pertama membawa muatan sejumlah 12 tong dram berisi petrol dan sejumlah 24 tong lagi ditemui di bot kedua.

“Manakala pemeriksaan ke atas bot ketiga turut membawa kepada penemuan lapan tong dram juga berisi minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tiga bot pam bawa muatan 44 tong dram berisi petrol dirampas APMM di perairan Pitas. – Foto/APMM

Menurutnya, ketiga-tiga bot berkenaan disyaki cuba melakukan aktiviti penyeludupan minyak
petrol dari perairan Pitas ke Pulau Mangsi, Filipina.

“Bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM70,000,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2022. – Info X