Search

Cubaan seludup PATI, lembu, diesel guna bot jongkong tidak lepas

May 25, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Taktik menyelinap masuk menggunakan bot jongkong dalam keadaan gelap di perairan Pulau Balambangan, di sini, tidak berhasil apabila cubaan membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama muatan seludup berjaya dipatahkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), semalam.

Dalam operasi menerusi Op Pasir itu, pasukan keselamatan turut merampas beberapa barangan dipercayai cuba diseludup termasuk lembu, enjin pam bot dan minyak diesel yang dibawa menggunakan bot jongkong berkenaan.

Operasi dilaksanakan hasil maklumat pengesanan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum Trup Quick Reaction Force (QRF) 9 RAMD (PARA) bersama aset Skuadron Bot Tempur digerakkan ke lokasi pemintasan.

Sebaik dikesan, bot jongkong terbabit terus dipintas pasukan keselamatan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat lima PATI bersama pelbagai muatan di dalam bot berkenaan.

Kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada APMM Kudat untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

ATB 2 dalam kenyataannya hari ini berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan keselamatan serta kerjasama erat agensi penguat kuasa di kawasan ESSZone dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, kawalan dan pemantauan di kawasan perairan terutama di laluan panas penyeludupan akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara. – Info X