SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi di perkampungan atas air Kampung Batu, di sini, kelmarin.
Serbuan menerusi Operasi Khas jam 7.14 malam itu, tiada tangkapan dilakukan kerana dipercayai kehadiran pasukan penguat kuasa telah dihidu terlebih dahulu.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan merampas tiga buat bot laju dengan muatan 416 tong berisi minyak petrol.
“Tiada sebarang tangkapan dibuat kerana dipercayai kehadiran penguatkuasa telah dihidu.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM265,638,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jelasnya, PPM Wilayah Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara. – Info X