Search

Cucu bantu selamatkan nenek sebelum keduanya rentung dalam kebakaran

May 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Joeynita cuba keluar bersama nenek dan masa itu saya dan beberapa ahli cuba untuk masuk semula ke rumah tetapi api semakin marak.

“Tidak sangka Joeynita (anak saudara) gagal untuk keluar bersama nenek kami,” katanya Dymnaira Vintos, 26, ibu saudara Joeynita Abdul Alip, 15, yang ditemui rentung dalam rumah keluarganya di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, Joeynita ditemui rentung bersama neneknya Ruslia@Gisis Guntamas, 80, di dalam sebuah bilik dalam keadaan berdekatan.

Dymnaira berkata, kebakaran disedari bapanya selepas menyedari ternampak api di bahagian dapur lalu mengejutkan semua ahli keluarga untuk menyelamatkan diri.

Dymnaira bersama adiknya yang terselamat dalam kebakaran di Kampung Pulau Penampang, yang meragut nyawa anak saudara dan neneknya.

“Tanpa berlengah, saya bersama anggota keluarga yang lain keluar dari rumah. Namun saya dengan adik cuba untuk masuk semula kerana terdapat anak saudara dan nenek masih berada di dalam rumah.

“Namun api semakin marak dan siling rumah terbakar dan runtuh menyebabkan kami gagal untuk menyelamatkan Joeynita dan nenek kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Menurutnya, kali terakhir dia berbual bersama Joeynita malam tadi ketika sedang makan.

“Malam sebelum kejadian kami makan bersama dan sebaik selesai, dia senyum lalu masuk ke dalam bilik dan tidur bersama nenek kami.

“Itulah kali terakhir saya melihat Joeynita senyum tanpa bicara, rupanya itulah senyuman terakhirnya sebelum dia pergi selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, peringkat awal kejadian, kebakaran telah menyedarkan enam sekeluarga yang sedang tidur.

Mohd Pisar Aziz bersama pegawai bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, Kota Kinabalu.

“Ketika menyedari kebakaran berlaku, mereka cuba memadamkan api, namun tidak berjaya kerana api merebak begitu cepat dan dipercayai kebakaran ini bermula daripada dapur.

“Bagaimanapun punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Menurutnya, bahan-bahan bukti pasukan bomba sedang kumpul untuk dibawa ke makmal bagi melihat sejauh mana kaitan bahan bukti terhadap kebakaran yang berlaku.

“Apa yang saya boleh tekankan di sini, kita hendaklah lebih berhati-hati dalam mengurus penggunaan elektrik ataupun sumber kebakaran yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Ini supaya tidak menimbulkan permasalahan hingga meragut nyawa dan kehilangan harta benda,” katanya. – Info X