KOTA KINABALU: Tindakan dua lelaki dipercayai mencuri kabel telekomunikasi dengan bersembunyi di dalam mainhole berakhir gagal apabila mereka diberkas selepas kenderaan dinaiki terbabas ketika cuba meloloskan diri daripada polis, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit, anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang menjalankan rondaan mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah mainhole milik syarikat telekomunikasi itu.
Pemeriksaan kemudian mendapati beberapa individu sedang melakukan kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam manhole berkenaan sebelum mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Suspek dipercayai menggunakan sebuah Toyota Hilux dan sebuah van Toyota Hiace untuk meloloskan diri dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, situasi bertukar tegang apabila pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan kenderaan berkenaan sehingga membahayakan keselamatan petugas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis berjaya menahan Toyota Hilux itu selepas kenderaan berkenaan terbabas berhampiran Jalan Likas berdekatan stesen minyak Shell Likas.
Katanya, dua lelaki tempatan berjaya ditahan manakala sebuah van Hiace yang dipercayai turut terbabit sempat meloloskan diri dan kini sedang dikesan pihak polis.

“Turut dirampas satu unit alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia sudah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau van Hiace yang melarikan diri diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat Insp Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879.
“Polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan curi kabel yang boleh menjejaskan sistem komunikasi awam serta keselamatan infrastruktur negara.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah ini kerana ia memberi kesan kepada sistem komunikasi awam,” katanya. – Info X