TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki mencuri telefon bimbit milik jemaah di Masjid Bandar, di sini, minggu lalu memakan diri apabila dia berjaya diberkas polis.
Suspek berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau di kaki lima bangunan kedai di Jalan Cole Adams kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada 23 September lalu kira-kira jam 1.15 tengah hari ketika mangsa, seorang lelaki warga emas, tertidur selepas menunaikan solat Zuhur.
“Sebaik mangsa bangun, dia mendapati telefon bimbitnya sudah hilang.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali mengambil peranti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan selepas tangkapan dilakukan menemui semula telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan masing-masing pada 2022 dan 2024.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menasihati orang ramai supaya tidak cuai ketika berada di tempat awam serta sentiasa memastikan barangan berharga berada dalam kawalan selain segera melaporkan kepada polis jika mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan. – Info X