TAWAU: Seorang wanita ditahan kurang 24 jam selepas disyaki mencuri wang tunai milik kakaknya di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum dimaklumkan ahli keluarga bahawa adik kandungnya mengambil wang daripada dompet di dalam bilik tidur.
Katanya, perbuatan suspek disedari mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka, namun wanita terbabit berjaya melarikan diri dari rumah berkenaan.
“Suspek turut dipercayai sering mengambil barangan berharga di dalam rumah berkenaan.
“Susulan laporan dibuat di Balai Polis Bombalai, sepasukan anggota berjaya mengesan dan menahan suspek di pekarangan balai polis itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Info X