Search

D4 JSJ terus ‘gempur’ suspek kes pecah rumah

February 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga sekawan yang terbabit memecah masuk sebuah restoran makanan segera di Jalan Tuaran Bypass, di sini, 25 Januari lalu, akhirnya kecundang apabila mereka ditahan polis, hari ini.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 20, 24, 33 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah di kawasan Sadong Jaya dan Manggatal, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, pihaknya menerima laporan sebuah restoran makanan segera dipecah masuk di Jalan Tuaran Bypass.

“Kejadian itu disedari pekerja restoran berkenaan selepas depan premis berkenaan dalam keadaan berselerak. Sebuah tab dan dua cash drawer hilang dipercayai dilarikan penjenayah.

“Hasil siasatan di lokasi pasukan operasi D4 JSJ menimbulan cap jadi salah seorang suspek dan tindakan mengesan suspek digerakkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim.

Azmi berkata, hasil risikan berjaya mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek yang mengaku terbabit memecah masuk restoran berkenaan

“Suspek turut menyatakan membuang dua buah cash drawer ke dalam tong sampah berdekatan dengan pejabat Kesihatan Penampang sejurus memecah masuk premis berkenaan.

“Pemeriksaan ketiga-tiga suspek mendapati mereka masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah dan curi,” katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan barang kes dan tidak menolak kemungkinan ada lagi rakan sejenayah mereka yang masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah” katanya. – Info X