Search

Dakwaan kerajaan GRS gagal adalah fitnah – Hajiji

August 25, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan pembangkang yang menganggap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan yang gagal.

Katanya, jika kerajaan diterajuinya itu gagal, tidak mungkin ia mendapat hasil yang tinggi hingga mencecah RM7 bilion sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak dapat menyalurkan bantuan yang banyak jika ia adalah kerajaan yang gagal, sedangkan realitinya banyak inisiatif untuk rakyat dilaksanakan.

“Jika benar Kerajaan GRS gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan begitu banyak bantuan kepada rakyat dan kita juga tidak akan mampu meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion berbanding hanya RM4 bilion sebelum ini.

“Pembangkang hanya tahu menyebarkan fitnah dan pembohongan di media sosial, terutama kerajaan dua setengah tahun itu, mereka tidak mempunyai perancangan (ketika berkuasa) tetapi sekarang bercakap besar seolah-olah mereka tahu segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Komuniti SMJ bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, sejak mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Negeri GRS telah memulakan kira-kira 400 inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kira-kira 94 peratus daripadanya sudah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Jelasnya, Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.49 bilion yang memberi manfaat kepada 336,076 penerima bantuan kebajikan dari 2021 hingga 2024, termasuk Skim Bantuan Am (SBAM), Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) dan lain-lain.

Beliau berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan RM385.5 juta pada tahun ini untuk pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima golongan miskin dan miskin tegar.

Hajiji bersama orang ramai di Kota Belud.

“Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri menggunakan Pangkalan Data Sabah atau PADANs untuk mengenal pasti bentuk intervensi bersesuaian berdasarkan profil Ketua Isi Rumah (KIR).

Katanya, tahun ini Kerajaan Negeri juga kekal komited menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ dan Belanjawan Negeri Sabah 2025 dalam agenda pembasmian kemiskinan.

“Selain itu Kerajaan Negeri telah membelanjakan kira-kira RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan khususnya dalam bidang pendidikan.

“Perkara ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kita telah meningkatkan peruntukan biasiswa negeri kepada RM138 juta tahun ini berbanding hanya RM50 juta sebelum ini,” katanya.

Kerajaan Negeri juga, katanya menekankan aspek Ekonomi Biru untuk menjana kekayaan baharu dan meningkatkan pendapatan negeri.

Beliau berkata, ia adalah tambahan kepada hasil sektor minyak dan gas menerusi penglibatan lebih besar negeri selepas termeterainya Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama Petronas.

Hajiji turut berkata, Warisan sering bercakap seolah-olah merekalah yang memulakan Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), sedangkan program itu sebenarnya telah lama dilaksanakan sebelum itu.

“Saya perlu menyatakan perkara ini kerana saya tidak mahu rakyat di Kota Belud terpedaya dengan pembohongan pembangkang,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyeru rakyat agar memastikan kemenangan gabungan itu di semua empat kerusi DUN di sini.

Selepas itu, Hajiji yang diiringi Ketua Penyelaras Sekretariat SMJ Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai; ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ketua Gagasan Rakyat Usukan, Datuk Japlin Akim, menyampaikan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 yang lain.

Ketua Menteri turut menyampaikan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ dan sumbangan kepada 66 sekolah di daerah ini melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). – Info X