Search

Dakwaan skandal rasuah: 8 ADUN dipanggil semula SPRM

April 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan dakwaan video skandal rasuah isu perlombongan mineral Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata turut dipanggil ialah pemberi maklumat, dikenali sebagai Albert Tei, yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman video terbabit.

Katanya, langkah itu bagi membantu SPRM melengkapkan siasatan berhubung dakwaan rasuah yang membabitkan semua ADUN seperti dilihat dalam rakaman video yang tular sebelum ini.

“Saya mengarahkan pegawai saya untuk memanggil balik kesemua pihak termasuk Albert bagi mengemukakan semua dokumen dikehendaki dan memastikan kesahihan dakwaan beliau sebelum ini.

“Lapan ADUN yang terbabit juga akan dipanggil dan kita akan memainkan rakaman video di hadapan mereka bagi memperjelaskan apa sebenarnya yang berlaku atau maklumat lain,” katanya pada program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, SPRM menyambut baik saranan pelbagai pihak termasuk peguam yang mahukan agensi itu menyiasat perkara berkenaan bagi mengetengahkan kandungannya (video), apa yang berlaku di dalam itu dan adakah wang diberi adalah rasuah atau tidak.

“Mungkin berlaku transaksi, mungkin tidak berlaku, saya turun balik kepada peguam siasatan saya, ini semua persoalan-persoalan yang perlu diperjelaskan,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya masih menunggu keputusan analisis terhadap 10 video yang sudah dihantar ke Makmal Forensik SPRM.

Makmal berkenaan, katanya mempunyai pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia dan kepakaran dalam bidang analisis video.

Jelasnya, berdasarkan analisis awal yang dibuat, hasil laporan menunjukkan video terbabit tidak tulen dan banyak berlaku suntingan.

“Pegawai makmal forensik memaklumkan berlaku banyak pecahan pada ‘frame’ video itu menunjukkan berlaku suntingan.

“Dalam kita menjalankan siasatan kita mengambil kira perkara ini, maka ia tidak boleh digunakan sebagai keterangan.

“Ini menyebabkan tiada sebarang pengesahan dan tidak tahu siapa yang benar, sama ada Albert atau ADUN,” katanya. – Info X