KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari, berkata beliau sudah menyedari ada niat tidak baik ketika dikunjungi individu yang dikaitkan dengan penyebaran klip video dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ADUN Sabah.
Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan atas sebab itu, beliau bertindak berbual secara berseloroh dan tidak serius ketika dikunjungi individu terbabit.
Katanya, rakaman yang menunjukkan dirinya sedang berbual dengan seorang individu dalam satu klip video itu juga sudah disunting dan disebar dengan niat jahat.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perbualan saya dalam rakaman yang disunting dan disebar dengan niat jahat itu dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.
“Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.
“Oleh itu, adalah tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu adalah pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang,” katanya.
Klip video itu memaparkan Arsad sedang berbual mengenai projek dengan individu yang merakam video terbabit.
Arsad berkata, perbualannya dalam rakaman video terbabit adalah komunikasi bersifat ringan yang kini dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap dirinya.
“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat.
“Saya juga ingin memperjelas bahawa saya menghormati kedudukan serta budi bicara Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya ‘dihalang’ adalah tidak benar dan sengaja diputar belit termasuk dakwaan pembabitan ADUN Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan itu.
“Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan melibatkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi,” katanya.
Arsad berkata beliau bersedia dan komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain sekiranya diperlukan.
Katanya, beliau juga sudah mengarahkan peguamnya untuk meneliti segala tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu atau pihak yang masih menyebarkan maklumat salah atau memutar belit kenyataannya.
“Laporan polis juga sudah dibuat bagi tindakan selanjutnya. Saya menggesa media dan semua pihak agar bersikap objektif dan adil dalam melaporkan isu ini.
“Berikan ruang kepada proses undang-undang dan tidak menjatuhkan sebarang hukuman atau kesimpulan yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya. – Info X