KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengulangi pendirian menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan jika berlaku unsur salah laku atau salah gunan kuasa dalam kegiatan perlombongan mineral di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan perkara itu ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, lewat petang tadi.
Beliau bagaimanapun enggan memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu berikutan kes yang dikaitkan dengan perkara berkenaan sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya juga ingin menyentuh sedikit berhubung isu yang hangat diperkatakan mengenai pengurusan mineral. Laporan berkaitan perkara itu telah diserahkan oleh pihak Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) kepada pihak berwajib.
“Kerajaan negeri menyerahkan
sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang unsur salah laku atau penyalahgunaan kuasa.
“Bagi maklumat yang terperinci, saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut kerana kes ini sedang dalam siasatan oleh pihak yang berwajib dan sebarang kenyataan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Hajiji turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa penyebaran video dan audio berkaitan dakwaan skandal rasuah di sebuah portal berita sebelum ini kemungkinan bermotif untuk menjejaskan kerajaan pimpinannya.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa pengurusan pentadbiran baharu SMM adalah teratur dan mengikut tadbir urus yang baik. Semua pertimbangan dan kelulusan diputuskan melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.
Hajiji berkata, SMM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Sabah yang ditubuhkan untuk menguruskan sektor mineral sebagai langkah strategik bagi memastikan pengurusan sumber mineral lebih tersusun, fokus dan berkesan bagi memaksimumkan potensi dan sumber baharu pendapatan kepada kerajaan negeri.
Setakat ini, katanya melalui Ahli Lembaga Pengarah SMM dan syor pihak pengurusan syarikat, kerajaan negeri sudah mengeluarkan 26 Lesen Mencari Gali atau Prospecting License (PL) selaras dengan Seksyen 6 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 untuk tempoh dua tahun.
“Daripada 26 itu, dua PL ditarik balik sendiri oleh pemegang lesen, satu PL dibatalkan dan empat PL sudah luput tempoh atas beberapa sebab seperti tiada kemajuan eksplorasi yang signifikan dalam tempoh dua tahun oleh pemegang lesen.
“Selain itu, ada yang tidak mendapat persetujuan daripada pemegang Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mapan (SFMLA) dan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk memasuki kawasan, manakala selebihnya berada dalam kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA) dan dalam kawasan tadahan air sensitif,” katanya.
Berikutan ini, katanya hanya 19 PL masih berkuat kuasa ketika ini dan menjelaskan bahawa PL hanyalah untuk mencari gali sama ada terdapat jumlah mineral yang ekonomik untuk dilombong.
“Sebarang permohonan untuk ‘Mining Lease’ bagi operasi perlombongan hanya akan diputuskan setelah dibuktikan terdapat mineral yang bernilai untuk dibangunkan hasil daripada dapatan daripada kerja-kerja PL.
“Kepentingan kerajaan negeri akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ‘Mining Lease’ dikeluarkan,” katanya. – Info X