KOTA KINABALU: Seorang warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti menangkap dan menjual ikan menggunakan bahan letupan ditahan dalam operasi di Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, hari ini.
Dalam serbuan jam 1 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, bersama pelbagai bahan dipercayai untuk digunakan untuk membuat bom ikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat berhubung rumah yang dipercayai menjalankan aktiviti membuat dan menyimpan bahan letupan.
Katanya, sebaik diserbu, seorang lelaki warga asing yang berada di rumah berkenaan ditemui bersama beberapa bahan yang digunakan untuk membuat bom ikan.
“Lelaki terbabit mengaku memiliki semua bahan letupan berkenaan dan siasat juga mendapati suspek membuat sendiri bom ikan untuk kegunaan menangkap ikan.
“Suspek turut mendakwa semua hasil tangkapan akan dijual di Pasar Safma Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmi berkata, suspek turut mengaku mendapatkan semua bahan-bahan untuk membuat bom ikan berkenaan daripada penjual yang berada di Pulau Mangsi, Filipina.

Katanya, antara bahan yang dirampas adalah satu guni berisi baja ammonia nitrat, dua gelen petrol, satu guni botol plastik, 40 biji detonator dan gegelung wayar.
“Semua bahan yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu terus dirampas untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, seorang lelaki ditahan selepas didapati mengubahsuai sambungan kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Azmi berkata, ketika serbuan dilakukan , terdapat sambungan kabel yang tidak melalui meter dan disyaki untuk mencuri arus elektrik.
Katanya, pasukan operasi dari Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah JSJ Kontinjen Sabah, terus merampas sebuah meter 3 fasa, kabel elektrik dan kotak sius agihan.
“Kegiatan berkenaan dipercayai boleh menyebabkan kerugian kira-kira RM28,000.
“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – Info X