Search

Dari RM50 juta, kini nilai SMJ Energy RM5 bilion – Masidi

June 27, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Nilai syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) melonjak hingga RM5 bilion daripada modal asal RM50 juta dalam tempoh kira-kira tiga tahun

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia satu pencapaian yang besar bagi syarikat itu yang hanya bermodalkan RM50 juta suntikan dana kerajaan negeri ketika ditubuhkan tiga tahun lalu.

Jelasnya, pencapaian besar itu adalah hasil pelaburan yang dilaksanakan SMJ Energy dalam syarikat minyak dan gas milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Seperti mana yang semua sedia maklum dan ini kita telah jelaskan atau mengumumkan beberapa kali, SMJ Energy ini, penubuhannya adalah hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS tiga tahun lalu.

“Jadi, kerajaan negeri memberi kita suntikan modal RM50 juta sebagai dana permulaan dan daripada RM50 juta itu kita bergerak melabur dalam syarikat-syarikat PETRONAS.

“Mengikut penilaian terbaharu, syarikat RM50 juta ini sekarang bernilai RM5 bilion, dengan aset yang agak banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, di sini, pada Jumaat.

Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata pencapaian itu adalah hasil kerja keras tenaga profesional yang diambil bagi mengurus dan mengoperasikan syarikat berkenaan tanpa campur tangan politik.

“Operasi kita (SMJ Energy) 100 peratus adalah komersial, itulah faktor memberi keputusan (pencapaian) yang baik kepada syarikat ini.

“Malah, pada tahun lalu saja kita mencatat untung RM350 juta dengan hanya 30 orang kakitangan profesional yang menguruskan syarikat,” katanya.

SMJ Energy kini, katanya memiliki pegangan 50 peratus di lapangan minyak PETRONAS menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang. – Info X