KOTA KINABALU: Pemaju perumahan di Sabah tidak lagi dibenarkan menetapkan lot khas untuk Bumiputera dalam projek perumahan yang dibangunkan di negeri ini, berkuatkuasa pada 1 Disember ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata ia antara pindaan yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menambah baik dasar 30 peratus kuota Bumiputera bagi pemilikan rumah swasta yang diamalkan di negeri ini.
Katanya, dasar 30 peratus kuota Bumiputera itu dikekalkan, namun dengan beberapa penambahbaikan untuk manfaat pembeli berstatus Bumiputera.
“Bagi memastikan dasar 30 peratus kuota Bumiputera ini mendatangkan manfaat optimum kepada pembeli berstatus Bumiputera, kerajaan negeri menambah baik dasar itu dengan membuat beberapa pindaan.
“Pertama, 30 peratus kuota Bumiputera adalah dikekalkan di mana pemaju perumahan swasta hendaklah memastikan 30 peratus daripada jumlah unit rumah yang dibina diperuntukkan kepada pembeli berstatus Bumiputera bersama hak untuk memilih lot rumah.
“Ini bermaksud pembeli berstatus Bumiputera berhak untuk memilih lot rumah yang mereka inginkan dan pemaju tidak lagi dibenarkan untuk menetapkan lot rumah untuk dijual kepada pembeli berstatus Bumiputera seperti yang diamalkan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu, berkata bermula 1 Disember ini juga, larangan menjual semula lot rumah milik pembeli berstatus Bumiputera yang dikuatkuasakan sebelum ini dimansuhkan.
Katanya, pemansuhan itu bagi mempermudahkan urusniaga hartanah dalam kalangan pembeli rumah berstatus Bumiputera di Sabah.
“Dengan itu pembeli berstatus Bumiputera boleh menjual semula rumah yang diperuntukkan daripada kuota 30 peratus Bumiputera kepada mana-mana pembeli tanpa sebarang sekatan.
“Bagi lot rumah milik pembeli berstatus Bumiputera yang telah dikeluarkan geran tanah mengandungi sekatan atau larangan menjual semula sebelum tarikh kuatkuasa dasar baharu ini , pemilik geran rumah boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk memadam sekatan itu,” katanya.
Selain itu, katanya apa-apa diskaun atau rebat yang diberikan oleh pemaju kepada pembeli bukan Bumiputera hendaklah ditambah kepada diskaun lima peratus sedia ada yang diberikan kepada pembeli berstatus Bumiputera ketika ini.
“Ini bermaksud jika pembeli bukan Bumiputera mendapat 15 peratus diskaun atau rebat, maka pemaju perumahan swasta terbabit hendaklah memastikan pembeli berstatus Bumiputera mendapat diskaun sebanyak 20 peratus.
“Dasar baharu ini adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan birokasi dalam urusan jual beli lot rumah oleh golongan Bumiputera.
“Kerajaan juga percaya dengan dasar baharu ini, lot rumah milik golongan Bumiputera akan mencapai peningkatan nilai pasaran yang setaraf dengan lot rumah yang dimiliki golongan bukan Bumiputera,” katanya. – Info X