Search

Datang marah-marah di tapak jualan, bekas suami ditahan buat ugutan

February 4, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Niat seorang wanita mencari rezeki di tapak jualan bertukar cemas apabila dia tiba-tiba didatangi bekas suaminya yang datang dalam keadaan marah di kawasan Bandar Sri Indah, di sini, semalam.

Tanpa disangka, lelaki berusia 32 tahun berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap wanita itu sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan berasa keselamatannya terancam.

Tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, polis menahan lelaki terbabit di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai terbabit dalam kes ugutan jenayah terhadap bekas isterinya.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – Info X