KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Yahya Lampong dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan anaknya, Masley Yahya menerusi perkongsian di Facebook, menyatakan ayahnya meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi.
Menerusi satu lagi hantaran selepas itu, Masley memaklumkan jenazah ayahnya dibawa ke Masjid Nurul Islam, Ampang untuk dimandikan dan disembahyangkan, sebelum dikebumikan selepas solat Zohor.
Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk dari 1985 hingga 1986.
Dalam tempoh itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1981 apabila dicalonkan Parti BERJAYA untuk bertanding di kerusi DUN Usukan, namun tewas.
Cubaan keduanya atas tiket Bebas akhirnya berjaya menawan Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum 1982, diikuti kejayaan memenangi kerusi DUN Tempasuk atas tiket USNO pada pilihan raya negeri 1985.
Allahyarham juga pernah bertanding di kerusi Parlimen Marudu atas tiket UMNO-BN pada 1995 dan yang terakhir di kerusi Parlimen Papar atas tiket PKR pada 2013, namun kedua-duanya tewas. – Info X