Search

DBKK kesan penyamaran pegawai kanan, tempahan palsu guna WhatsApp

March 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan beberapa kes membabitkan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai kanan agensi itu bagi membuat tempahan pembekalan palsu melalui aplikasi WhatsApp.

Dalam kenyataan hari ini, DBKK memaklumkan pihaknya mengambil maklum kejadian berkenaan yang berlaku baru-baru ini, susulan terdapat pihak menyalahgunakan identiti serta jawatan pegawai kanan DBKK untuk memperdaya pembekal.

Menurutnya, semua urusan tempahan pembekalan rasmi DBKK adalah tertakluk kepada pemakluman secara bertulis melalui surat atau emel rasmi jabatan berserta dokumen yang diperakui.

“DBKK tidak pernah membuat sebarang tempahan rasmi melalui saluran peribadi seperti aplikasi WhatsApp, akaun media sosial persendirian atau panggilan telefon tidak rasmi,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pembekal dan rakan niaga dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menerima atau memproses sebarang pesanan yang menggunakan nama DBKK.

Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Pengurusan Korporat, Jabatan Hal Ehwal Korporat DBKK di talian 088-521800 bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

DBKK menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan penyamaran, penipuan atau penyalahgunaan nama pegawai, jabatan dan organisasinya.

Katanya, tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Orang ramai yang mengesyaki wujud cubaan penipuan turut diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK hari ini. – Info X