Search

DBKK perlu tingkatkan kecekapan, kecepatan perkhidmatan

February 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran supaya meningkatkan lagi tahap kecekapan dan kecepatan perkhidmatannya bagi memenuhi ekspektasi warga bandar raya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menggalas tugas dan tanggungjawab yang besar dalam mengekalkan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau berkata, DBKK perlu pantas bertindak terhadap ekspektasi penduduk bandar raya yang kian mencabar dan sentiasa mahukan perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien.

“Justeru, saya menyarankan agar konsep cekap dan pantas sentiasa diterapkan dan diamalkan dalam pelaksanaan semua dasar, program dan perkhidmatan yang direncanakan agar kesejahteraan rakyat di bandar raya Kota Kinabalu dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi DBKK sempena Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandar Raya Kota Kinabalu di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, sebagai PBT yang progresif, DBKK melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran, menggalakkan inovasi dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Hajiji menghadiri Majlis Apresiasi DBKK sempena Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandar Raya Kota Kinabalu di SICC.

“Inisiatif-inisiatif ini bukan saja meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tetapi juga memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang mampan dan mesra rakyat.

“Saya berharap semua usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan Kota Kinabalu terus menjadi sebuah bandar raya yang memenuhi kehendak pengunjung, selain warganya,” katanya.

Katanya, dalam era globalisasi dan cabaran pembangunan bandar semakin kompleks, Kota Kinabalu perlu disiapkan dengan perancangan yang rapi untuk memastikan infrastrukturnya dapat menampung pertumbuhan pesat penduduk.

“Perlu diingat bandar raya ini juga adalah destinasi pelancongan utama dan pintu masuk yang popular bagi pelancong yang melawat ke negeri ini.

“Justeru, DBKK perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus menjadi keutamaan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mengekalkan pencapaian itu dan menyokong apa saja usaha strategik DBKK yang bakal dilaksanakan.

Beliau berkata, antaranya ialah pelaksanaan inisiatif bandar pintar KK dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC), pemantapan undang-undang sedia ada serta pemerkasaan sistem jalan dan pengangkutan awam.

Selain itu, katanya kerajaan turut komited dalam usaha menaik taraf kemudahan asas bandar raya Kota Kinabalu melalui permohonan projek Rancangan Malaysia (RMK) Ke-13 dan beberapa lagi inisiatif yang memberikan manfaat kepada penduduk bandar raya Kota Kinabalu.

Hajiji juga mahu semua warga kerja DBKK terus mengekalkan budaya kerja yang cemerlang seiring dengan ekspektasi pemegang taruh dan kehendak warga bandar raya Kota Kinabalu kerana mereka adalah wira atau ‘unsung hero’ bagi bandar raya ini.

“Usaha warga DBKK amat penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bandar raya Kota Kinabalu yang terus sejahtera, berdaya huni, mampan, berdaya saing dan lestari,” katanya. – Info X