Search

DBKK serius ambil tindakan tegas terhadap ‘kutu sampah’

April 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai yang dikesan membuang sampah merata-rata atau dipanggil ‘kutu sampah’ di sekitar bandar raya ini.

Amaran itu berikutan hasil tinjauan dan perkongsian orang ramai melalui gambar dan video sampah sarap yang bertaburan di Segama Waterfront dan Taman Awam Teluk Likas sepanjang cuti Aidilfitri sejak Rabu lalu.

Sikap negatif segelintir pengunjung dan warga bandar raya meninggalkan sampah merata-rata di lokasi tumpuan awam bukan saja mengotori bandar raya, malah menjejaskan imej ibu negeri.

Menerusi satu kenyataan di sini, DBKK memaklumkan sebanyak 200 kilogram sampah dikumpulkan pekerja Unit Pengutipan dan Penyapuan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK di sekitar Segama Waterfront, sepanjang dua hari cuti umum Aidilfitri.

Sebagai tambahan, DBKK turut mengambil inisiatif menambah bilangan tong sampah bersaiz 120 liter hingga 240 liter di Segama Waterfront bagi memastikan pengunjung membuang sampah di tempat yang betul.

Sampah bertaburan di Segama Waterfront sebelum dibersihkan petugas DBKK.

Sementara itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKK akan mengaktifkan dua Ops Payung di Segama Waterfront dan Taman Awam Teluk Likas bagi menguatkuasakan sepenuhnya Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, terutama ke atas orang ramai yang meninggalkan atau membuang sampah merata tempat.

Jika dikesan melakukan kesalahan itu, DBKK boleh mengenakan kompaun, selain mengambil tindakan mahkamah.

Selain menyasarkan kutu sampah, Ops Payung juga mengambil tindakan terhadap peminta sedekah dan penjaja haram, selain mengawal ketenteraman awam dan lalu lintas dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

DBKK berkata, setakat Januari hingga awal bulan ini, sejumlah 64 kompaun di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005 dikenakan ke atas orang ramai yang membuang sampah merata-rata di Taman Awam Teluk Likas dan sebanyak 214 kompaun dikeluarkan di sekitar pusat bandar raya.

Dalam minggu ini pula, sebanyak lima kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Penjaja) 1966 dikeluarkan ke atas penjaja haram di Taman Awam Teluk Likas, manakala satu rampasan barangan penjaja haram yang enggan mengikut arahan dibuat di Segama Waterfront. – Info X