KOTA BELUD: Bunyi letupan bertalu-talu memecah kesunyian hutan, disusuli tembakan yang tidak putus-putus ketika ratusan anggota tentera Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia mara menawan kubu musuh di puncak bukit.
Dari sebalik kubu Red Force, hanya beberapa meter daripada anggota yang sedang “bertempur”, penulis menyaksikan sendiri bagaimana operasi serangan briged dilaksanakan dalam Eksais Keris Strike Siri 31/2026.
Walaupun sekadar latihan, suasananya cukup menggetarkan sehingga seolah-olah berada di medan perang sebenar.

Segalanya bermula seawal jam 4 pagi apabila penulis dijemput pegawai perhubungan raya Markas 5 Divisyen menggunakan kenderaan pacuan empat roda Tentera Darat Malaysia. Turut bersama ialah jurugambar kombat yang juga menjadi idola penulis, Kamarul Azizi.
Perjalanan hampir 30 minit menuju Lapang Sasar Udara (LASARUD) 2, Kota Belud menjadi permulaan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Laluan tanah merah bertukar becak selepas hujan sepanjang hari sebelumnya, memaksa kenderaan bergerak perlahan meredah lumpur sebelum tiba di titik permulaan.
Tanpa membuang masa, kami memulakan perjalanan meredah denai hutan dengan hanya ditemani cahaya lampu kepala. Dalam gelap, setiap langkah perlu diatur berhati-hati kerana laluan licin selain dikelilingi hutan yang sunyi.

Selepas berjalan hampir 500 meter, kami berhenti seketika pada jam 5.40 pagi. Di hadapan kami terbentang pemandangan Gunung Kinabalu yang mula disimbahi cahaya matahari.
Penulis sempat merakam beberapa keping gambar di lokasi yang jarang dikunjungi orang awam kerana berada dalam kawasan latihan tentera.
Perjalanan diteruskan kira-kira 300 meter sebelum tiba di kubu Red Force, iaitu pasukan yang bertindak sebagai musuh dalam senario latihan.

Dari situ, penulis menunggu ketibaan Blue Force, gabungan Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific (USARPAC) dan Australian Defence Force (ADF) yang diberi misi menawan kubu berkenaan.
Tepat jam 7.15 pagi, letupan simulasi memecah kesunyian. Tidak lama kemudian, deruan helikopter UH-60 Black Hawk milik Tentera Amerika Syarikat dan Tiger Armed Reconnaissance Helicopter (ARH) milik Tentera Darat Australia memenuhi ruang udara sambil melakukan tinjauan dan memberi sokongan kepada pasukan penyerang.
Jam 7.30 pagi, operasi serangan bermula. Dari kubu Red Force, penulis dapat melihat anggota Blue Force bergerak secara berperingkat mendaki bukit.

Mereka mara menggunakan perlindungan muka bumi, berlindung di sebalik pokok dan cerun sebelum melepaskan tembakan ke arah kubu musuh.
Walaupun hanya menggunakan peluru kosong (blank ammunition) dan bahan letupan simulasi, bunyi tembakan yang berselang-seli dengan letupan cukup memberikan gambaran sebenar suasana peperangan.
Asap memenuhi kawasan bukit manakala arahan daripada komander kedengaran jelas ketika setiap seksyen bergerak mengikut peranan masing-masing.

Sebagai jurugambar, saya bukan sekadar mencari sudut terbaik untuk merakam gambar. Pada masa sama, saya perlu sentiasa peka dengan setiap pergerakan anggota bagi mengelakkan berada di laluan serangan atau mengganggu operasi yang sedang berlangsung.
Ada ketika penulis terpaksa meniarap di tanah berlumpur, berlari menukar kedudukan dan memanjat cerun kecil bagi mendapatkan visual terbaik. Setiap kali bunyi tembakan kedengaran semakin hampir, saya hanya mampu memastikan kamera terus merakam setiap detik penting tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Hampir sejam operasi berlangsung sebelum anggota Blue Force berjaya menembusi pertahanan dan menawan kubu Red Force seperti dirancang dalam senario eksais.

Walaupun semuanya adalah simulasi, disiplin, komunikasi dan koordinasi yang dipamerkan jelas menunjukkan bagaimana operasi briged sebenar dilaksanakan. Tugasan kami bagaimanapun belum selesai.
Bersama anggota tentera Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia, saya sekali lagi meredah denai berlumpur, mendaki serta menuruni bukit sebelum berjalan hampir 900 meter menuju menara tinjau bagi menamatkan liputan hari itu.

Bagi penulis, pengalaman mengikuti serangan briged ini jauh lebih bermakna daripada sekadar menghasilkan gambar yang menarik.
Ia memberi peluang melihat sendiri bagaimana operasi ketenteraan moden dirancang dan dilaksanakan, selain menyedarkan bahawa di sebalik setiap kejayaan sesebuah misi, terdapat disiplin, ketahanan fizikal dan kerjasama yang dibina melalui latihan berterusan.
Setiap letupan yang bergema, setiap langkah mendaki bukit dan setiap bingkai gambar yang berjaya dirakam menjadi pengalaman paling berharga sepanjang saya bergelar jurugambar. – Info X