Search

DICEKUP KETIKA PECAH MASUK RUMAH SARANG BURUNG

June 13, 2022

admin

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang memecah masik sebuah rumah sarang burung walit di Kampung Sungai Imam Bombalai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, suspek berusia lingkungan 20-an terbabit ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dari Balai Polis Bombalai.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota bergegas ke kawasan rumah sarang walit berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah sarang burung walit berkenaan.

“Lelaki itu yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal selepas kawasan berkenaan telah dikepung anggota polis sebelum suspek diberkas.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa plastik warna hitam yang mengandungi satu karung sarang burung walit yang dipercayai dicuri,” katanya, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, turut dirampas sebatang aluminium yang diubah suai menjadi mata pisau, besi yang diubah suai menjadi cangkuk, tali nelon, besi pencangkuk dan lain-lain peralatan.

“Siasatan mendapati suspek warga asing yang masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya. – Info X