BEAUFORT: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah di perkarangan sebuah rumah di Kampung Limbawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh turut dikatakan cuba melarikan diri ketika serbuan namun berjaya diberkas selepas itu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, serbuan dilakukan pihaknya susulan maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, ketika serbuan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal sebelum dia ditahan.
“Pemeriksaan menemui satu plastik warna hitam dari dalam jaket dipakai suspek yang berisi 16 peket plastik lutsinar pelbagai saiz dan dua keratan penyedut minuman atau straw mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat dadah syabu yang dirampas iaitu 6.25 gram bernilai kira-kira RM700,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek serta barang rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek mengaku mendapat bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang individu di daerah ini dan polis sedang mengesannya.
“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah syabu.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X