Search

Disangka penyamun rupanya kurang siuman

March 2, 2023

admin

KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang membuat ‘kecoh’ di sebuah pasar raya, di sini, Isnin lalu hingga mengundang rasa kurang sedang pengunjung dipercayai kurang siuman.

Dalam kejadian 2.55 petang itu, lelaki berusia 36 tahun dalam keadaan mencurigakan berkeliaran di dalam dan sekitar pasar raya berkenaan.

Orang awam kemudiannya bertindak memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, bertindak atas aduan itu,  sepasukan polis kemudiannya digerakkan ke lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak.

Katanya, sebaik tiba di premis berkenaan, lelaki terbabit didapati bercakap seorang diri dalam bahasa yang tidak difahami.

“Lelaki itu turut meninggikan suara kepada anggota polis sebelum berjaya ditenangkan.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai kurang siuman dan berasal dari Kudat.

“Suspek datang ke Kota Marudu untuk berjalan-jalan dan tidak mendatangkan ancaman kepada orang awam malah hasil ujian urin terhadap suspek juga menunjukkan suspek tidak terbabit dengan sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Kelakuan suspek di pasar raya berkenaan mengundang rasa kurang selesa kepada pengunjung berikutan mereka tidak mengetahui keadaan sebenar suspek,” katanya.

Zairolnizal berkata, suspek kemudiannya dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, tular dalam media sosial video memaparkan suspek ditahan di premis berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Pengguna media sosial turut mendakwa keadaan di Kota Marudu sudah tidak selamat berikutan penyamun tidak segan silu menjalankan kegiatan jenayah di tempat awam.

Zairolnizal bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mengugat keamanan dan berhubung terlebih dahulu kepada pihak polis atau sumber boleh dipercayai untuk mendapatkan sebarang maklumat sahih. – Info X