Search

Dituduh ceroboh tanah, dua individu mengaku tidak bersalah

June 5, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah milik sebuah syarikat dengan niat mengganggu operasi pekerja syarikat itu, bulan lalu.

Tertuduh, masing-masing seorang penyelia dan juruukur kanan sebuah syarikat perlombongan emas bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Kedua-dua tertuduh, Chok Kat Leong, 65, dan Romuald Peter, 36, membuat pengakuan itu selepas mendengar pertuduhan terhadap mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Southsea Gold Sdn Bhd pada dengan niat mengganggu operasi pekerja syarikat berkenaan pada 22 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana melakukan perbuatan itu secara bersama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan yang berasingan.

Majistret menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye. – Info X