KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi keterangan lebih dua jam selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu, pagi tadi.
Ketika ditemui selepas itu, beliau berkata dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan satu laporan polis ke atas dirinya di bawah Akta Hasutan yang dikaitkan dengan video ceramah di Kelantan.
Katanya, kedatangannya ke Sabah pada hari ini sudah dijadualkan untuk menghadiri satu program Pemuda UMNO di Beaufort pada petang ini.
“Bagaimanapun, sejurus sampai (di KKIA) saya mendapat satu panggilan menyatakan perlu memberi keterangan hari ini. Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin.
“Sejurus keluar dari pemeriksaan Imigresen, saya terus diambil dan dibawa ke IPD. Alhamdulillah kenyataan juga telah diambil,” katanya.
Dr Akmal ditahan di KKIA sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi tadi sebelum dibawa ke IPD Kota Kinabali di Kepayan untuk diambil keterangan.
Beliau dalam rangka menghadiri Program Pemuda UMNO di Kampung Limbawang, Beaufort yang dijadualkan pada petang ini.
Mengulas mengenai laporan polis terhadapnya, Dr Akmal berkata beliau sudah meneliti video yang dikaitkan dengan laporan itu dan merasakan setiap ungkapan yang dikeluarkan tiada unsur hasutan.
“Saya meneliti video itu dan rasa ungkapan yang dikeluarkan tiada unsur menghasut.Kita serahkan segalanya kepada siasatan polis. Kita sedia lawan di mahkamah sebab saya tidak pernah takut.
“Hal ini kerana setiap perkara yang kita bawa ini adalah suara kebenaran dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Dr Akmal mempersoalkan penahanannya di Sabah ketika tiba di KKIA untuk menghadiri program Pemuda UMNO, hari ini.
Katanya, penahanan untuk diambil keterangan itu menghairankannya kerana laporan polis terhadapnya di buat di Kuala Lumpur.
“Ada satu laporan polis ke atas diri saya di bawah Akta Hasutan yang dikaitkan dengan video ceramah di Kelantan, laporan itu dibuat di Kuala Lumpur.
“Oleh itu, saya tertanya-tanya kenapa perlu cepat, tiada langsung laporan dari Sabah. Semuanya berlaku di Semenanjung.
“Kami datang ke sini secara tenang untuk program Pemuda UMNO dan tidak mengganggu sesiapa. Apa yang penting sangat, bukan saya tidak balik. Saya balik dan kita akan bagi komitmen,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dalam kenyataannya berkata siasatan ke atas Dr Akmal berkaitan dengan isu stoking tertera kalimah Allah.
Beliau mengesahkan polis menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan Dr Akmal berhubung isu itu dan menyiasatnya di bawah Seksyen (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan telah dijalankab ke atas beliau dan kertas siasatan akan dirujum ke Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah ini memandangkan mereka yang terlibat telahpun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya. – Info X