Dr Joachim akui kesulitan rakyat pantai timur, pemulihan bekalan elektrik digiatkan

November 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah memantau rapi perkembangan usaha pemulihan bekalan elektrik di pantai timur berikutan insiden menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau pada Khamis.

Menterinya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata beliau sudah dimaklumkan Sabah Electricity (SE) mengenai kejadian itu yang berpunca daripada hakisan tapak asas menara akibat hujan berterusan dan arus deras Sungai Liwagu.

“Kita sedia maklum bahawa pihak SE kini sedang bertungkus-lumus 24 jam bagi membina menara penghantaran sementara Emergency Restoration System (ERS) bagi membolehkan bekalan elektrik ke pantai timur dipulihkan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau memahami kesulitan yang dihadapi rakyat, khususnya membabitkan kehidupan seharian, kegiatan ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan awam susulan gangguan bekalan elektrik.

“Kita meminta semua penduduk yang terlibat di lapan daerah, iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan, Beluran dan Telupid, agar terus bersabar sementara usaha pemulihan dilaksanakan,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri itu yang juga ADUN Kundasang, turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas Sabah Electricity yang bekerja siang dan malam dalam keadaan mencabar bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan dengan segera tanpa mengabaikan aspek keselamatan.

Tambahnya, kementerian akan terus memantau perkembangan ini dengan rapi bersama pihak SE sejajar keutamaan terhadap kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat. – Info X