Search

Dr Joachim, Joniston menang tanpa tanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden PBS

August 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

Turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PBS ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam.

Ketiga-tiga mereka memenangi jawatan itu bagi tempoh 2026-2029 selepas pencalonan bagi pemilihan PBS pada tahun ini yang ditutup pada 31 Julai lalu.

Kemenangan tanpa bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, ADUN Kiulu dan ADUN Lumadan itu diumumkan Setiausaha Agung selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PBS, Datuk Julita Majungki.

“Dr Joachim yang ketika ini memangku jawatan presiden sejak tiga tahun lalu adalah satu-satunya calon Presiden PBS ketika pencalonan parti ditutup pada 31 Julai lalu.

“Begitu juga ADUN Kiulu, Joniston, adalah satu-satunya calon bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Katanya, Ruslan menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam.

PBS mempunyai tiga kuota Timbalan Presiden, masing-masing bagi kuota Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan Cina atau bukan Bumiputera.

Julita berkata, Dr Joachim dan Joniston adalah calon tunggal yang menerima pencalonan mencukupi untuk melayakkan diri dalam pemilihan parti kali ini.

Ruslan pula, katanya menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam hanya menerima satu pencalonan.

“Calon perlu mendapat minimum tiga pencalonan bagi melayakkan mereka bertanding pada pemilihan parti,” katanya.

Beliau berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.

Sementara itu, Julita berkata tiga pencalonan diterima bagi dua jawatan naib presiden Bumiputera bukan Islam, iaitu ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum dan penyandangnya, Datuk Johnny Mositun.

Katanya, enam calon pula layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden kuota Bumiputera Islam, manakala lima calon bagi jawatan sama di bawah kuota Cina.

“Pemilihan kali ini juga menyaksikan 28 calon layak bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi kuota Bumiputera bukan Islam, 23 calon bagi Bumiputera Islam dan 15 calon bagi kuota Cina.

“Secara keseluruhan ada tujuh kekosongan Ahli Majlis Tertinggi bagi Bumiputera bukan Islam, lima bagi Bumiputera Islam dan empat bagi kuota Cina. Penerimaan pencalonan ditutup pada 7 Ogos,” katanya.

Julita berkata, sebanyak 79 pencalonan diterima untuk semua jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan PBS dengan lebih separuh daripada mereka bertanding kali pertama.

Sementara itu, Dr Joachim menyifatkan jumlah calon itu, dengan separuh julung kali bertanding membuktikan ramai yang mahu berkhidmat kepada parti.

PBS dijadual mengadakan pemilihan sempena kongres tahunannya pada September depan.- Info X