KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini secara rasmi menyerahkan tugas sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada pemangkunya yang juga Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Penyerahan tugas itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di ibu pejabat parti berkenaan di Donggongon, Penampang.
Berikutan itu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah akan memangku jawatan Presiden PBS berkuatkuasa serta-merta.
Maximus yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) memegang jawatan itu selama enam tahun selepas mengambil alih tugas daripada pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 2018.
Sementara itu, Maximus dalam mesejnya yang dibacakan Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, berkata peralihan kepemimpinan PBS perlu demi kebaikan parti.
“Hari ini tiba masanya untuk satu perubahan yang saya yakin akan membawa pembaharuan iaitu penyerahan tugas dan tanggungjawab saya sebagai presiden kepada pemangku yang saya pilih mengikut Artikel 15 (iii) (a) Perlembagaan PBS, iaitu Timbalan Presiden, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
“Kita mesti sedar bahawa ini bukan mudah bagi seorang pemimpin untuk melepaskan kedudukan, tugas dan peranannya kepada seorang pengganti dalam kalangan pemimpin yang ada.
“Banyak soalan pasti akan berbangkit dan banyak cabaran akan didepani oleh sesiapa saja yang memegang atau bertindak sebagai presiden mana-mana parti atau organisasi, khususnya parti yang bersejarah dan sangat bermakna kepada rakyat Sabah,” katanya.
Maximus berdepan masalah untuk berucap berikutan masalah kesihatan yang dialaminya selepas diserang angin ahmar sebelum ini.
Katanya, dengan keadaan kesihatannya ketika ini yang memerlukan lebih perhatian dan tumpuan untuk proses pemulihan, beliau yakin pelantikan Dr Joachim adalah keputusan yang baik untuk PBS pada masa ini.
“Harapan saya dengan pelantikan ini, kepemimpinan parti kekal bersatu untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai demi rakyat dan negeri Sabah,” katanya. – Info X