Search

Dr Joachim nafi terbabit rasuah, sifatkan laporan berniat buruk

July 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam, menegaskan beliau tidak gentar terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan namanya selepas didakwa turut terbabit dalam skandal rasuah pelesenan perlombongan mineral.

Timbalan Ketua Menteri yang Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, beliau kekal komited melaksanakan tugas sebagai anggota Kabinet Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Beliau menafikan sekerasnya tuduhan yang mengaitkan dirinya dalam dakwaan skandal rasuah terbabit seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini, baru-baru ini.

“Saya berpandangan laporan itu tidak bertanggungjawab dan dibuat dengan niat buruk untuk mencemari reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, sebagai pemangku Presiden PBS, beliau menggesa semua ahli parti itu dan penyokongnya supaya bertenang, selain kekal bersatu dalam menghadapi perkara itu.

“Biar kita teruskan bekerja keras untuk rakyat, masih banyak yang perlu dilakukan.

“Kita perlu terus mendengar, mencari apa yang boleh diperbaiki dan melakukan yang terbaik untuk membawa pembangunan kepada Sabah.

“Yakinlah, saya akan menghadapi situasi ini dengan hati yang jelas dan bersih. Saya menghargai sokongan berterusan dan kepercayaan diberikan rakyat,” katanya.

Dr Joachim adalah antara tiga nama pemimpin tertinggi PBS yang dikaitkan dengan skandal rasuah terbabit berdasarkan laporan terbaharu Malaysiakini berhubung kes itu.

Dua lagi ialah Presiden PBS sendiri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang kini berehat dari menjalankan tugasnya dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri turut menafikan tuduhan terhadapnya menerusi satu kenyataan pada Selasa. – Info X