Search

Dua ahli perniagaan ditahan SPRM Sabah, tuntutan palsu RM3.6 juta

August 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua ahli perniagaan selepas dipercayai mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu membabitkan nilai RM3.6 juta.

Menurut sumber, matan palsu berkenaan adalah bagi pembekalan mesin dan peralatan usahawan serta pensijilan bagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an berkenaan telah ditahan sekitar jam 11 pagi tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk memberi keterangan.

“Siasatan awal dijalankan mendapati, kedua-dua suspek mengemukakan dua tuntutan yang mengandungi butir matan palsu di bawah Program Bantuan IKS kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada tahun 2022 dan 2023.

“Salah satu tuntutan berkenaan adalah bagi pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan yang melibatkan nilai lebih RM400,000 dan satu lagi tuntutan melibatkan perkhidmatan pensijilan MeSTI, My Food serta sijil Halal melibatkan nilai lebih RM3.2 juta,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua suspek telah dibebaskan selepas membayar deposit RM1,000 daripada RM10,000 wang jaminan yang dikenakan kepada mereka.

“Kedua-dua mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini,” katanya. – Info X