KOTA KINABALU: Dua beranak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 20 hingga 40-an itu memperoleh wang berkenaan dengan memperdaya orang ramai membabitkan permohonan rumah skim Program Perumahan Rakyat.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan selitar kira-kira jam 3 pagi hari ini dalam satu serbuan di sebuah kawasan perumahan di Sandakan.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan itu sekitar tahun 2023 iaitu meminta sejumlah wang daripada orang ramai dengan menjanjikan rumah mesra rakyat.
“Suspek turut menjanjikan pemberian insentif seperti perkakasan rumah sekiranya para pemohon dapat menarik lebih ramai orang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua wang rasuah berkenaan diterima melalui bayaran tunai atau pindahan bank ke akaun isteri suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Beberapa tangkapan lagi dijangka akan dibuat susulan kes ini dan orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X