KUDAT: Dua bom udara seberat 1,000 paun setiap satu yang ditemukan di kawasan tepi pantai Pulau Balambangan, di sini, berjaya dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Operasi pemusnahan bahan letupan yang belum meletup atau Unexploded Ordnance (UXO) itu dilaksanakan selama dua hari bermula semalam dengan mengambil kira faktor keselamatan dan keadaan persekitaran.
Operasi berkenaan membabitkan empat pegawai kanan polis dan 12 pegawai rendah polis daripada Cawangan Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Sabah serta Cawangan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Zon 2 Sabah.

Menurut kenyataan IPK Sabah, proses pemusnahan kedua-dua bom udara itu terpaksa dilaksanakan secara berperingkat berikutan keadaan pasang surut air laut di lokasi penemuan.
“Faktor persekitaran turut diberikan perhatian bagi memastikan setiap tindakan pemusnahan dapat dilaksanakan dengan selamat dan terkawal.
“Hasil operasi yang dijalankan, kedua-dua bom udara berkenaan berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Operasi berkenaan turut membabitkan penelitian terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada anggota bertugas dan kawasan sekitar.
Kejayaan pemusnahan kedua-dua bom udara itu sekali gus memastikan ancaman bahan letupan berkenaan dapat dihapuskan.
IPK Sabah memaklumkan, kejayaan operasi itu mencerminkan kecekapan dan kesiapsiagaan pasukan UPB Kontinjen Sabah dalam menangani ancaman bahan letupan demi menjamin keselamatan masyarakat serta persekitaran. – Info X