KOTA KINABALU: Penetapan dua
kadar zakat fitrah di Sabah, RM7.50 dan RM15 seorang pada tahun ini mengambil kira perbezaan jenis beras yang dimakan masyarakat Islam negeri ini.
Perkara itu dijelaskan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ramlan Awang Ali selepas pengisytiharan dua kadar zakat fitrah itu oleh Yang Dipertua Muis, Datuk Yahya Hussin, di sini, hari ini.
Selain perbezaan jenis beras, Ramlan berkata penetapan dua kadar berbeza itu juga bagi memastikan kewajipan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih sempurna dan tepat, seterusnya dapat meningkatkan pungutan zakat fitrah di negeri ini.
“Untuk makluman, kedua-dua kadar zakat fitrah ini telah mendapat kelulusan daripada Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah.
“Penetapan dua kadar zakat fitrah ini adalah mengambil kira perbezaan jenis beras yang dimakan oleh masyarakat Islam di Sabah, di samping memastikan kewajipan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih sempurna dan tepat, seterusnya dapat meningkatkan pungutan zakat fitrah di negeri Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, kadar pertama zakat fitrah bagi 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, iaitu sebanyak RM7.50 ditetapkan bagi mereka yang memakan beras putih import, manakala kadar kedua iaitu RM15, bagi mereka yang memakan beras wangi.
Katanya, kadar yang ditetapkan mengikut jenis beras yang dimakan itu wajib dibayar oleh setiap orang Islam yang bermastautin di Sabah.
“Bagi menentukan kadar Zakat Fitrah tahun 1447H / 2026M, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS dengan kerjasama Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd telah mengadakan sesi perbincangan bagi mendapatkan data dan statistik berkaitan maklumat beras di negeri Sabah.
“Mengikut perakuan Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd, beras utama yang dipasarkan di Sabah adalah terdiri daripada beras putih import, beras wangi dan juga beras basmathi.
“Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS telah membuat tinjauan kuantiti dan harga jualan beras di Sabah melibatkan beberapa buah pasaraya utama di lapan buah daerah seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kota Marudu, Beaufort, Keningau dan Ranau.
“Hasil daripada tinjauan tersebut, harga purata keseluruhan berdasarkan lapan daerah itu menunjukkan beras putih import adalah sekitar RM2.82 sekilogram, manakala purata harga beras wangi adalah sekitar RM5.43 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, penentuan harga Zakat Fitrah bagi negeri Sabah adalah mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.7 kilogram selaras peruntukan Enakmen Zakat dan Fitrah tahun 1993, di bawah Seksyen 56 dan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003.
Jelasnya, setakat pengumuman rasmi yang dibuat pada tahun ini, kadar zakat fitrah negeri-negeri di Malaysia ditetapkan mengikut jenis beras yang dimakan, antaranya di Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perak.
“Sehubungan itu, MUIS menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang bersesuaian dengan jenis beras yang dimakan.
“Mudah-mudahan dengan melaksanakan ibadah zakat fitrah pada bulan Ramadan ini dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan,” katanya. – Info X