PENAMPANG: Dua lokasi setinggan di daerah ini digempur polis dalam Op Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi.
Operasi bermula 9 malam dan berakhir 2 pagi dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Penampang (MDP).
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi yang dijalankan di dua kawasan setinggan di daerah ini memeriksa seramai 49 individu.

“Hasil pemeriksaan menahan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Semua yang ditahan iaitu 12 warga Filipina dan tiga warga Indonesia kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua individu yang ditahan mengikut kesalahan Seksyen 6 (1) (c) diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi yang diketuainya itu membabitkan keseluruhan kekuatan seramai
38 pegawai kanan dan anggota polis, 13 penguasa Imigresen, 15 penguat kuasa MDP dan empat pegawai JPN.
“Pihak polis akan mempergiat operasi seperti ini dalam usaha untuk mengekang kemasukan dan kebanjiran PATI di dalam daerah ini.
“Polis juga menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak memberikan ruang atau peluang kepada PATI untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian ataupun menyewakan rumah kepada mereka.
“Tindakan menawarkan tempat tinggal atau tempat kerja kepada PATI adalah kesalaham yang menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya. Info X