Search

Dua lagi pegawai PBT direman kes rasuah

July 24, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua lagi pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes menerima wang rasuah daripada kontraktor.

Suspek terdiri daripada seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 34 dan 28 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua pegawai berkenaan ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM sekitar jam 7 malam tadi.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai tujuh individu setakat ini, yang disyaki menerima wang rasuah hampir RM200,000 daripada kontraktor sejak tahun 2022 hingga kini.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, lima individu termasuk jurutera, penolong jurutera dan bekas kakitangan PBT berusia antara 30 hingga 50 tahun turut direman kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.

Mereka dipercayai menerima wang berkenaan melalui pindahan ke akaun bank peribadi masing-masing sebagai balasan membantu mendapatkan sebut harga dan tender berkaitan kerja-kerja di PBT terbabit. – Info X