Search

Dua lelaki dikhuatiri hilang di hutan ditemui selamat

June 6, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Dua lelaki yang dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan di Forest Tibow Sepulut, Sook, di sini, Selasa lalu, ditemukan dalam keadaan selamat, petang tadi.

Kedua-dua mangsa berusia 23 dan 30 tahun dikatakan masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk memancing.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 8.59 pagi, hari ini.

Katanya, pasukan operasi membabitkan pelbagai agensi digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Dua mangsa ditemui selamat oleh pasukan Perhutanan.

“Operasi yang dijalankan membabitkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kedua-dua mangsa telah ditemui pada jam 3.45 petang tadi oleh pasukan Perhutanan di tepi jalan dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan pasukan bomba mengambil maklumat seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.50 petang,” katanya. – Info X