SEMPORNA: Dua lelaki ditahan selepas disyaki memiliki petrol dan diesel tanpa permit dalam operasi di kawasan rumah atas air di Kampung Balimbang Haji Jamal, Pulau Bum Bum, di sini, semalam.
Dalam operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak itu, sebanyak 1,145 liter bahan api membabitkan 125 liter petrol dan 1,020 liter diesel dirampas.
Turut disita dua bot kayu, sebuah enjin sangkut Yamaha 30 kuasa kuda (HP), sebuah enjin pam serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan barang kawalan tanpa permit.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan diserahkan PGA Batalion 22 Kunak kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut.
“Jumlah keseluruhan bahan api yang dirampas adalah sebanyak 1,145 liter dengan nilai barang kawalan dianggarkan RM5,934.15.
“Selain petrol dan diesel, beberapa aset serta peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan turut disita,” menurut kenyataan itu, hari ini.
KPDN memaklumkan, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.
Menurutnya, pihak kementerian memandang serius sebarang kegiatan pemilikan atau pengendalian barang kawalan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPDN memberi amaran kepada semua individu dan syarikat supaya mematuhi peraturan berkaitan pemilikan, penyimpanan serta pengendalian barang kawalan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X