BELURAN: Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati membawa kira-kira 20,000 liter minyak diesel bersubsidi di Road Check Point (RCP) Kilometer 4 Jalan Sapi Nangoh, di sini, semalam.
Kedua-dua suspek terbabit ditahan oleh pasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran menerusi Op Taring.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek terbabit gagal menunjukkan permit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan resit pembelian minya diesel berkenaan.
“Semua suspek terbabit terus ditahan, manakala lori serta muatannya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, suspek dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai penguat kuasa KPDN untuk tindakan selanjutnya.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya. – Info X