Search

Dua lelaki ditahan, sindiket seleweng diesel lebih RM500,000 terbongkar

October 14, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Kegiatan disyaki penyelewengan minyak diesel bernilai lebih setengah juta ringgit di sebuah premis di Kampung Kibabaig, di sini, terbongkar selepas dua hari diintip Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah.

Dalam operasi semalam, dua lelaki berusia 39 dan 57 tahun ditahan selepas polis menemukan kira-kira 18,060 liter minyak diesel yang disyaki disimpan tanpa permit sah.

Turut dirampas pelbagai kenderaan dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM524,176.20.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan Unit Risikan Marin hasil maklumat risikan mengenai aktiviti mencurigakan di premis terbabit.

Katanya, pasukan risikan menjalankan intipan dan pemantauan selama dua hari sebelum menyerbu premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 18,060 liter minyak diesel yang disimpan dalam sebuah tangki skid, lori tangki Nissan dan tong drum.

“Polis turut merampas sebuah lori prime mover jenis Sinotruk, enam tong drum serta pam minyak, hos dan kelengkapan lain yang disyaki digunakan untuk memindahkan diesel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, siasatan awal mendapati bekalan diesel berkenaan disyaki tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, kedua-dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 126 kes membabitkan kesalahan di bawah akta sama dengan 113 tangkapan.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh berkenaan mencecah RM30.65 juta.

“PPM akan terus memperhebatkan risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan, khususnya minyak diesel,” katanya. – Info X